Sepanjang berkhidmat sebagai Pakar sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta, isu ini merupakan antara isu yang paling kerap memeningkan kepala.
Selalunya bagi mereka yang mengalami masalah gangguan jiwa yang sangat serius, itu mungkin tidak menjadi masalah besar. Psikotik, ganas, tidak dapat menjaga diri dan sebagainya merupakan contoh terbaik di mana majikan akan tidak teragak-agak untuk memohon supaya pesakit diberi pencen ilat atau diberhentikan atas alasan kesihatan.
Kadangkala, para doktor selalu akan cuba memastikan bahawa pesakit diberi masa yang secukupnya untuk pulih dan kembali bekerja seperti biasa. Namun jika mereka masih tidak lagi dapat berbuat demikian walaupun beberapa lama dirawat, maka mungkin pencen ilat merupakan jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua.
Bagi mereka yang mengalami gangguan jiwa jenis neurotik (contohnya kemurungan, kegelisahan dan sebagainya), ianya tidak semudah itu. Lembaga Perubatan sering membuat kesimpulan bahawa mereka ini masih boleh meneruskan tugas seperti biasa atau sekurang-kurangnya diberi kerja ringan untuk sementara waktu. Oleh yang demikian, pesakit dan majikan, kadangkala berada dalam dilema.
Ramai di antara pesakit yang mengalami masalah serupa akhirnya mengalami masalah yang besar. Tidak boleh bekerja tapi dipaksa untuk bekerja. Majikan pula tersepit kerana tidak boleh mengeluarkan mereka ini daripada senarai dan terpaksa membayar gaji walaupun pekerja terbabit tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dan sempurna.
Daripada apa yang difahamkan, kriteria untuk mendapat pencen ilat bagi pesakit psikiatri kini lebih ketat daripada biasa. Jarang sekali didapati kes neurotik diberi pencen berbanding kes psikotik kerana kebanyakan mereka dianggap masih lagi boleh berfungsi seperti biasa. Penderitaan emosi tidak dilihat sebagai sesuatu yang cukup teruk untuk dipertimbangkan bagi pencen tersebut berbanding mereka yang mengalami kecelaruan mental yang serius.
Hasilnya, ramai pesakit akhirnya dipaksa untuk meletak jawatan, atau pun yang lebih malang, dibuang kerja dengan begitu sahaja. Itulah hakikatnya apa yang sedang berlaku di negara ini. Penyakit mental dan gangguan jiwa masih belum menerima pengiktirafan yang sewajarnya berbanding penyakit fizikal yang lain. Nasib mereka masih belum mendapat pembelaan walaupun zaman telah berubah dan negara semakin maju. Namun mentaliti masyarakat dan pemimpin tetap di takuk lama....
Sama-samalah kita semua berdoa agar mereka yang bertanggungjawab dan mampu mengubah semua ini diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah. Mungkin satu hari nanti hasrat kita untuk melihat perubahan besar di negara ini (khususnya berkaitan dengan rawatan dan pemulihan penyakit mental) akan menjadi satu realiti.
Wednesday, 24 February 2010
Masalah Jiwa dan Pencen Ilat
Monday, 15 February 2010
Fobia
Sumber : Utusan Malaysia :
Jika ketakutan yang dihidapi oleh seseorang itu melampau atau keterlaluan, maka rawatan tertentu diperlukan bagi mengatasinya.
Secara am, ramai orang yang tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan penyakit mental atau psikiatri. Bila seseorang itu dikatakan sedang menghadapi masalah mental, masyarakat dengan mudah mengatakan bahawa orang itu gila. Dengan kata lain, masyarakat memandang serong terhadap orang yang menghadapi penyakit mental.
Sebenarnya terdapat 300 kategori penyakit mental. Satu hingga dua peratus dikatakan menghadapi penyakit psikotik atau gila. Sementara 98 peratus lagi tidak ada kena mengenai dengan penyakit tersebut.
Terdapat dua blok paling besar mengenai penyakit mental, iaitu murung dan keresahan. Fobia dikategorikan dalam penyakit keresahan atau anxiety disorder. Simptom utama yang terdapat pada orang yang mengalaminya ialah perasaan resah.
Fobia bukanlah kategori besar dalam penyakit mental tetapi ia menarik dan mendapat perhatian.
Fobia merupakan perasaan yang amat takut terhadap sesuatu benda atau situasi. Orang yang menghadapi masalah tersebut sedar bahawa ketakutan yang dialaminya adalah keterlaluan berbanding dengan orang lain.
''Orang ini tahu bahawa fobianya itu tidak setanding dengan benda yang dia takut. Namun dia tidak berdaya melawan. Kerana terlalu takut, dia akan cuba mengelakkan diri daripada berdepan dengan objek atau situasi tersebut. Jika tidak dirawat, dengan melihat gambar atau mendengar cerita pun dia akan berasa takut.
''Simptom fizikal yang dapat dilihat pada orang yang fobia adalah ketara seperti sesak nafas dan jantung berdegup deras.
"Ini akan menjurus pada sakit dada, tangan dan badan menggeletar. Rasa tercekik, berpeluh, rasa loya daripada dalam perut dan kepala pening seperti hendak pitam.
''Orang yang fobia ini seterusnya akan tertanya-tanya adakah dia diserang serangan jantung atau strok dan sebagainya. Dia mula hilang kawalan, semakin cemas dan terasa macam hendak mati,'' kata pakar psikiatri Hospital Pusrawi, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman yang ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, jika kesemua simptom itu muncul serentak dan berlaku berterusan, orang itu akan cuba mengelak daripada berhadapan dengan objek atau mengelakkan daripada pergi ke tempat yang ditakutinya.
Beliau berkata, terdapat perbezaan antara fobia dan rasa takut biasa. Perasaan takut merupakan perkara biasa kepada manusia normal.
''Adalah perkara biasa bagi kanak-kanak mempunyai perasaan takut. Sebanyak 90 peratus kanak-kanak yang berumur dua hingga 14 tahun mesti takutkan sesuatu sementara yang berumur di antara 0 hingga dua tahun takut kepada orang yang tidak dikenali, bunyi bising, bila terpaksa berpisah dengan ibu bapa seperti apabila dihantar ke rumah pengasuh dan sebagainya.
''Kanak-kanak yang berumur tiga hingga enam tahun pula lebih suka berkhayal atau takut kepada benda yang kita tidak nampak seperti hantu, raksasa dan gelap.
''Daripada umur tujuh hingga 16 tahun pula mempunyai perasaan takut yang lebih realistik seperti apabila perlu berpidato, menghadapi peperiksaan dan takutkan kemalangan.
''Ada banyak jenis ketakutan dan jika ibu bapa tidak bijak mengawalnya maka ia akan menjadi fobia yang serius setelah anak dewasa kelak. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dan jangan mengugut anak dengan meletakkan benda yang ditakuti di hadapan anak. Cara respons anak semasa kecil memberi kesan kepadanya setelah dewasa,'' ujar Daniel Zainal lagi.
Menurut beliau, antara jenis fobia yang biasa ialah:
- Fobia terhadap binatang tertentu.
- Fobia terhadap alam sekeliling seperti ketinggian, menaiki lif, tangga, air dan gelap.
- Fobia terhadap sesuatu situasi tertentu seperti doktor gigi, memandu, membuat persembahan di depan khalayak ramai, lalu di bawah jambatan atau terowong dan menaiki tangga bergerak.
- Fobia sosial iaitu takut diperhatikan dan orang ini akan cuba mengelak daripada bergaul atau bercakap dengan orang lain.Agoraphobia - orang yang sudah ada serangan panik dan akan rasa takut di mana-mana saja dia pergi. Dia sentiasa berfikir jika sesuatu terjadi padanya siapa yang akan menolongnya. Ini akan menyebabkannya tidak mahu keluar rumah.
Daniel Zainal berkata, orang yang terlalu fobia hingga menjejaskan jadual harian boleh dirawat menggunakan kaedah tingkah laku dan kognitif (cognitive behaviour therapy) dan terapi pendedahan.
Ujarnya, orang yang fobia juga akan diajar teknik bertenang seperti pernafasan, meditasi (orang Islam boleh berzikir) dan merehatkan otot-otot. Cara ini boleh mengawal dan mendapatkan keyakinan.
Beliau memberi amaran supaya tidak mengambil ubat penenang secara sewenang-wenangnya. Ubat-ubatan sebegini hanya bertindak untuk sementara waktu. Bagaimanapun ia dibolehkan jika diambil mengikut peraturan dan nasihat doktor.
Friday, 12 February 2010
Kemurungan Selepas Bersalin
Baru-baru ini terdapat seorang pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan bagi masalah Kemurungan Selepas Bersalin . Masalah ini sebenarnya cukup prevalen dalam kalangan wanita di negara ini dan seharusnya mendapat perhatian yang lebih serius daripada semua pihak.
Bagi sesiapa yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut, anda boleh membaca mengenainya di sini...
http://content.yudu.com/Library/A15l1o/kemurunganselepasber/resources/1.htm
Bagi sesiapa yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut, anda boleh membaca mengenainya di sini...
http://content.yudu.com/Library/A15l1o/kemurunganselepasber/resources/1.htm
Tuesday, 9 February 2010
Gangguan Jiwa Lawan Gangguan Mistik.
Dalam akhbar baru-baru ini tersiar satu cerita yang amat menyayat hati di mana seorang lelaki telah menikam abang dan ayahnya sendiri. Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila komen pihak polis dan media yang menggambarkan kemungkinan ia merupakan akibat daripada gangguan mistik - iaitu lelaki tersebut mendengar suara wanita bernama Siti Aisyah yang menyuruhnya melakukan perbuatan tersebut.
Mungkin susah bagi kita untuk membuat kesimpulan daripada kes ini tanpa fakta yang terperinci dan peluang untuk menemuduga pesakit yang terbabit. Namun kemungkinan ianya disebabkan oleh masalah jiwa tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Dari perspektif psikiatri dan psikologi, suara ghaib tersebut boleh diklasifikasikan sebagai halusinasi. Ia merupakan satu simptom yang kerap ada dalam kalangan pesakit jiwa di mana mereka mendengar suara-suara ghaib (satu atau lebih) yang secara saintifiknya telah dibuktikan datang daripada otak mereka sendiri. Ia digelar halusinasi kerana persepsi (melalui deria pendengaran) itu berlaku walaupun tidak ada stimulus (punca suara tersebut) daripada luaran.
Kerapkalinya suara (atau suara-suara) tersebut berbicara dengan individu terbabit, berbicara sesama mereka sendiri, ataupun boleh mengarahkan individu untuk melakukan sesuatu yang di luar kehendak mereka sendiri. Bagi individu tersebut, suara itu cukup 'real' atau memang sesuatu yang wujud dan kadangkala ia dilakukan apabila si pendengar tidak lagi dapat menahan diri kerana berulang kali disuruh atau diarah untuk berbuat demikian.
Kebanyakan mereka yang mengalami gangguan seperti ini tergolong dalam kategori penyakit jiwa jenis psikotik. Pesakit yang mengalami kecelaruan ini tidak lagi dapat membezakan antara sesuatu yang fantasi dengan sesuatu yang realiti.
Satu lagi kemungkinan yang perlu diambil kira ialah penyalahgunaan dadah. Mereka yang mengambil dadah khususnya heroin, ganja, gam, amfetamina, metamfetamina atau ketamin, boleh juga mengalami simptom yang sama.
Banyak lagi penyakit jiwa yang boleh membawa kepada akibat yang sama. Namun ia memerlukan proses pemerhatian yang teliti dan mendalam bagi menentukan punca kenapa individu terbabit melakukan perbuatan yang sedemikian.Ini boleh dilakukan di mana-mana Unit Forensik di hospital kerajaan.
Oleh yang demikian, sebagai satu cabang penyiasatan yang perlu diambilkira dalam hal ini, individu terbabit perlu dinilai oleh Pakar Psikiatri dengan lebih teliti. Ini adalah untuk mengelakkan daripada mereka yang mengalami gangguan jiwa tidak dihumbankan ke dalam penjara walhal apa yang diperlukan adalah rawatan dan pemulihan.
Subscribe to:
Comments (Atom)
