Soalan
Assalamualaikum Dr. Wan.......
Saya ingin tahu dan bertanya jika seseorang mengalami tekanan perasaan boleh mengakibatkan badan menjadi lembik seperti lumpuh tetapi deria masih merasa sakit dan segala-galanya
AMT
Jawapan.
Waalaikumsalam. Terima kasih di atas soalan ini.
Secara umum fizikal dan mental kita sangat berkait rapat antara dan saling mempengaruhi antara satu dengan yang lain. Tekanan mental atau gangguan jiwa boleh mengakibatkan simptom fizikal – sesuatu yang lebih dikenali sebagai psikosomatik.
Ini boleh dimanifestasikan dalam pelbagai gejala / simptom contohnya sakit kepala (contohnya- tension headache / migraine), sakit perut (contohnya - gastritis) , angin atau kembung perut (contohnya -irritable bowel syndrome) dan sebagainya.
Ada juga yang boleh menyebabkan seseorang itu lumpuh, lembik, pekak, buta dan sebagainya walaupun ujian tidak menunjukkan sebarang kecacatan atau kecederaan kepada anggota atau deria terbabit. Namun kebanyakannya tidak menunjukkan ciri-ciri yang lazim dialami seperti orang yang lumpuh, lembik , pekak, buta dan lain-lain akibat daripada penyakit fizikal biasa. Coraknya mungkin berbeza , luar biasa dan kadang-kadang tidak seiring atau berpadanan dengan apa yang dijangkakan . Maka terjadilah apa yang sering dipanggil sakit ganjil dalam masyarakat kita hingga menyebabkan bomoh menjadi pusat mendapatkan rawatan dan pertolongan.
Secara umumnya penyakit begini boleh dirawat dengan mudah sekiranya dibawa berjumpa pakar atau doktor yang berkelayakan. Bentuk rawatan ialah ubat-ubatan dan psikoterapi/kaunseling.
Tuesday, 13 January 2009
Tuesday, 6 January 2009
Takut Makan Ubat Jiwa?
Izinkan saya bercerita mengenai seorang pesakit wanita (berumur 27 tahun) yang telah mengalami masalah gangguan jiwa sejak berumur 19 tahun. Beliau pernah mengambil ubat daripada Hospital Pulau Pinang sehinggalah beliau berkahwin pada umur 25 tahun.
Suami beliau, seorang yang lebih cenderung kepada rawatan alternatif telah meminta beliau berhenti mengambil ubat dengan alasan tidak mahu terikat dengan ubat. Pada pandangan si suami, makan ubat membawa kesan buruk . Lebih baik berubat cara agama dan batin daripada mengambil ubat jiwa...
Walaupun pada mulanya tidak ada apa yang terjadi, namun setelah melahirkan anak yang pertama 9 bulan yang lalu, pesakit mula tanda-tanda relaps ( penyakit terjadi semula) iaitu bercakap seorang diri, 'paranoid' kepada suami (mempunyai kepercayaan yang salah /prasangka) , mendengar suara ghaib dan sebagainya. Pesakit tidak lagi mempedulikan anak dan suami, memaki hamun , tidak menutup aurat dan sebagainya.
Barulah si suami kini menyesal. Mahu mengambil ubat semula kerana semua ubat kebatinan, tradisional tidak lagi berkesan atau boleh mengawal pesakit.
Ini merupakan perkara biasa dalam masyarakat kita. Lebih suka mempercayai bomoh, pakar perubatan tradisional dan sebagainya untuk mendapatkan rawatan padahal penyakit seperti ini agak mudah untuk dikawal sekiranya mereka datang lebih awal.
Ia boleh diubati dan dirawat. Ia bukan penyakit disampuk hantu atau syaitan. Yang pentingnya datang untuk mendapat rawatan awal bagi mengelak ia berlaku semula.
Rawatan perubatan telah terbukti berkesan; namun semua daripada kita lebih suka membuang duit mencari bomoh. Bila tidak boleh dikawal, barulah datang merayu kepada pakar.....
Takut makan ubat , takut ketagih , takut makan banyak dan lain-lain adalah alasan yang paling kerap diberi. Tidak termasuk buatan orang, meroyan dan sebagainya.
Sampai bila kita semua harus begini?
Subscribe to:
Comments (Atom)