Tuesday, 17 August 2010

Friday, 23 July 2010

Iklan Untuk Mat Rempit...

Terjumpa "IKLAN'' berikut semasa mencari gambar mengenai mat rempit untuk ceramah 28.7.2010 ini. Cukup menarik....:-)

Sunday, 18 July 2010

Program : Sayangi Diri Sayangi Keluarga


Tajuk Ceramah
Gangguan Jiwa Wanita

Tempat
Holiday Villa, Alor Setar, Kedah

Tarikh
18.07.2010


Tuesday, 22 June 2010

Ceramah - Bijak Berfikir Cerah Masa Depan di SMK Tengku Laksamana


Anjuran PIBG SMK Tengku Laksamana , KMC dan LPPKN (22.07.2010)

Tuesday, 25 May 2010

Mengatasi Masalah Pesalah Jalan Raya : Utamakan Mendidik Bukan Menghukum

Saya amat tertarik dengan cadangan Ketua Pengarah JPJ untuk mengenakan kompaun minimum RM 300 untuk pesalah liat bayar baru-baru ini.

Dalam kenyataan tersebut juga dinyatakan bahawa terdapat 16.9 juta saman tertunggak antara 2000 hingga 2008 dengan nilai kompaun yang dianggar berjumlah RM 2.5 bilion. Antara cadangan lain yang bakal dikemukakan oleh JPJ ialah untuk memansuhkan pemberian diskaun, menetapkan kompaun baru (untuk digunapakai bersama dengan polis dan pihak berkuasa tempatan) bagi setiap kesalahan trafik dan membezakan nilai kompaun bergantung kepada kesalahan berkaitan tingkah laku negatif pemandu, tingkah laku pasif, teknikal dan lain-lain kesalahan.




Kesimpulan yang mungkin diperoleh daripada kenyataan beliau itu ialah ramai rakyat Malaysia tidak memandu secara berhemah dan kerap melakukan kesalahan jalan raya. Mereka juga pesalah tegar atau kerap mengulangi kesalahan yang sama; tetapi pada masa yang sama enggan bertanggungjawab di atas kesalahan yang telah dilakukan.

Mungkin cadangan beliau itu ada logiknya. Kalau dianalisa daripada statistik kemalangan jalan raya, Malaysia merekodkan hampir 1000 kemalangan dan 17 kehilangan nyawa sehari. Dari segi nilai wang, kita kehilangan lebih RM 9 billion setahun akibat daripadanya. Majoriti daripada kemalangan tersebut berpunca atau berkait dengan faktor manusia. Ringkasnya ketidak patuhan kepada undang-undang dan kecuaian pemandu kita di jalan raya mengundang pelbagai implikasi buruk kepada negara.

Soalan yang mungkin bermain di fikiran kita ialah mengapa ini berlaku? Mungkinkah rakyat kita ini secara semula jadinya cuai dan tidak bertanggung jawab? Fahamkah mereka kepada undang-undang atau mungkin juga mereka sengaja tidak mahu mematuhinya? Kenapa pula undang-undang yang sedia ada gagal mengawal fenomena ini dari terus berleluasa? Salah siapa sebenarnya? Pemandu, undang-undang atau penguatkuasaan?

Tentunya ramai daripada kita tidak bersetuju dengan cadangan JPJ tersebut. Menaikkan nilai kompaun atau menetapkan lebih banyak bentuk hukuman rasanya tidak akan berupaya menyelesaikan masalah yang sedia ada. Hukuman sedemikian walau pun telah sekian lama dikuatkuasakan namun ia ternyata tidak begitu berkesan dan mungkin boleh agak lapuk ditelan zaman.

Idealnya, kita memerlukan paradigma baru dalam memperbaiki keadaan. Sebagai permulaan mungkin kita boleh menilai semula sejauh mana keberkesanan modul pendidikan untuk latihan memandu dan sistem pemberian lesen yang digunapakai oleh pihak berkuasa di negara ini. Adakah ia telah cukup mantap dan efektif ? Perlukah ia dirombak atau ditambah baik ; atau mungkin juga boleh dimasukkan elemen lain yang lebih kontemporari dan relevan dengan senario masa kini?

Rasanya sistem yang sedia ada telah gagal melahirkan pemandu yang berdisiplin, patuh kepada undang-undang dan kompeten dalam mengendalikan kenderaan dalam situasi yang semakin mencabar. Hak untuk menggunakan jalan raya bukanlah boleh dipandang remeh dan tentunya tidak boleh diberikan dengan sewenang-wenangnya. Mungkin kriteria penganugerahan lesen yang wujud masa kini tidak cukup komprehensif dan terlalu simplistik.

Kemahiran mengendalikan kenderaan bukanlah satu-satunya faktor penentu sama ada seseorang individu itu layak diberi lesen memandu. Banyak lagi ciri-ciri yang perlu diambil kira dan dititik beratkan. Kefahaman mengenai adap dan tata susila ketika memandu, kebolehan mengawal emosi dan tingkah laku pastinya kritikal dalam memastikan seseorang itu boleh menjadi pemandu yang selamat, matang, berhemah dan patuh kepada undang-undang. Dalam erti kata lain, kemahiran psikososial serta kecerdasan emosi juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan kesesuaian dan kelayakan seseorang individu untuk memiliki lesen memandu.

Langkah seterusnya ialah memastikan proses penguatkuasaan dan hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan turut diperbaiki. Penekanan terhadap unsur menghukum (‘punishment’) dan bukannya mendidik (‘education’) perlu difikirkan semula. Teori Psikologi mengenai pembelajaran (‘learning’) jelas membuktikan bahawa menghukum kerap kalinya gagal menghasilkan kesan yang berterusan atau mencapai objektif yang disasarkan. Tambahan pula apabila hukuman yang diberikan tidak setimpal atau tidak boleh menghasilkan impak yang diingini, maka ia tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada individu terbabit.

Sebagai contoh, hukuman kompaun RM 300 mungkin menghasilkan impak yang besar kepada mereka yang berpendapatan rendah, namun ia tidak langsung menggerunkan golongan jutawan atau individu berpendapatan tinggi. Akibatnya golongan ini akan tetap melakukan kesalahan yang sama secara berulang kali kerana elemen ketakutan (‘fear’) yang diinginkan bagi memberi pengajaran kepada mereka tidak wujud sama sekali.

Kalau prinsip ini mahu diteruskan, modifikasi perlu dilakukan. Hukuman harus disesuaikan dengan kesalahan ; juga dalam bentuk yang boleh memberi keinsafan dan kesedaran kepada pesalah tersebut. Sebagai contoh, hukuman seperti khidmat komuniti (‘community service’), rawatan kaunseling dan psikoterapi didapati lebih memberi manafaat kepada pesalah tegar seperti yang dipraktik di negara-negara barat.

Alternatifnya, kita mungkin boleh menggunakan beralih kepada konsep peneguhan (‘reinforcement’). Metod ini dipercayai lebih efektif dalam memberi didikan dan pengajaran terutama untuk mengubah sesuatu tingkah laku manusia. Secara mudahnya, jika seseorang itu melakukan kesalahan, sesuatu keistimewaan yang dimiliki mereka akan ditarik balik ; atau sekiranya mereka melakukan kebaikan, ianya akan dikembalikan atau mungkin diberikan penghargaan dalam bentuk yang lain.

Majoriti Pakar Psikologi berpendapat bahawa pembelajaran melalui konsep ini jauh lebih berkesan bagi membentuk atau memperbaiki sesuatu tingkah laku secara konsisten dan berpanjangan. Prinsip menghukum, kata mereka , lebih tertumpu kepada menghapuskan tingkah laku yang tidak diingini manakala peneguhan pula menitik beratkan soal memperbaiki dan menggalak tingkah laku yang baik secara total dan berterusan.

Syarikat insurans di negara ini sebenarnya telah lama mengaplikasikannya dalam perniagaan mereka. Individu yang tidak membuat sebarang tuntutan insurans pada satu-satu tempoh tertentu akan diberi ganjaran (‘reward’) dalam bentuk wang atau diskaun; manakala mereka yang ada membuat tuntutan, akan kehilangan ganjaran tersebut. Oleh yang demikian para pemandu secara amnya telah dididik secara tidak langsung untuk memandu secara berhemah (dan tidak terlibat dengan kemalangan) demi untuk memperoleh ganjaran di akhir tempoh ditetapkan.

Elemen ‘personal touch’ atau sentuhan peribadi juga perlu dikembalikan. Memberi saman melalui sistem automatik atau saman ekor bukanlah satu idea yang baik. Walau pun ia boleh menjimatkan masa dan tenaga kerja ; atau memberi pulangan yang lumayan, namun aura sentuhan dan unsur nasihat yang ingin disampaikan kepada mereka yang telah melakukan kesalahan tidak lagi wujud. Ia umpama belajar melalui komputer. Mungkin ianya efektif untuk mempelajari sesuatu, tetapi tidak begitu berkesan untuk mendidik individu.

Memang benar cadangan yang diutarakan ini mungkin agak kontrovesial dan memerlukan pengubahsuaian drastik terhadap sistem dan pemahaman yang sedia ada dalam menangani masalah yang melanda negara. Namun seperti kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hendak seribu daya , dan jika tidak mahu, seribu dalih boleh diberikan. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk berubah dan ianya mesti dibuat segera demi kepentingan bersama.

Wednesday, 5 May 2010

Gangguan Jiwa Perlu Rawatan Segera

Harian Metro : Muka Depan - 5.5.2010


Saban hari kita terbaca di dada akhbar mengenai kisah-kisah pelik yang berlaku di negara ini. Kejadian membunuh diri, membunuh atau mencederakan orang lain dek kerana mengikut kata suara ghaib seolah-olah menjadi trend masa kini. Terbaru ialah kejadian yang melibatkan seorang suami yang menoreh alat sulit isterinya kerana mendengar bisikan jin yang menyatakan si isteri mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.




Dalam kes sebegini, mungkin punca utama yang terlintas di fikiran kita ialah gangguan jin, makhluk halus, syaitan dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah mereka yang mengalaminya akan terus dirujuk kepada bomoh atau pengamal perubatan tradisional. “Ini kes buatan orang”, mungkin itulah ungkapan yang seringkali kedengaran. Tidak perlu rawatan doktor kerana mereka bukan tahu merawat penyakit begini...

Benarkah individu yang mengalami simptom sedemikian dirasuk syaitan atau dimasuki jin? Atau mungkin juga akibat perbuatan khianat, santau dan sebagainya? Rasanya itulah yang ingin dipercayai oleh masyarakat kita, walaupun jauh di sudut hati, ramai daripada mereka sebenarnya tahu bahawa kemungkinan besar individu terbabit mengalami masalah gangguan jiwa.

Kalau dirujuk kepada mereka yang arif mengenai ilmu perubatan jiwa atau psikiatri, apa yang dapat dikenalpasti dalam kes tersebut dan kes-kes yang seumpama dengannya adalah kewujudan dua simptom kecelaruan psikosis iaitu halusinasi dan delusi.

Halusinasi bermaksud persepsi tidak normal yang dialami dalam keadaan sedar tanpa adanya rangsangan atau stimulus kepada mana-mana deria (lihat, dengar, bau, sentuh dan rasa). Sebagai contoh, mereka yang mengalami gangguan jiwa tertentu boleh mendengar suara-suara ghaib walhal realitinya ia (suara-suara tersebut) tidak wujud sama sekali. Apa yang didengari itu sebenarnya bukan datang daripada luar tubuh badan mereka atau disebabkan oleh makhluk halus, tetapi sebenarnya datang daripada minda individu itu sendiri.

Begitu juga dengan delusi atau kepercayaan salah, yang wujud serta dipegang kuat oleh individu walaupun ia jelas tidak mempunyai asas yang kukuh atau telah dibuktikan tidak benar. Kerapkali delusi berkenaan mempunyai tema dan kaitan yang rapat dengan halusinasi yang dialami. Dalam kes di atas contohnya, kemungkinan besar delusi bahawa si isteri menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain itu timbul akibat daripada bisikan jin (halusinasi) yang dialami oleh beliau. Lebih menyedihkan ialah menurut kata mangsa, suaminya telahpun menunjukkan ciri-ciri perubahan sikap seminggu sebelum kejadian tersebut bilamana beliau telah dicekik dua kali dalam tempoh tersebut.

Kejadian yang telah berlaku ini sebenarnya menggambarkan senario yang lazim di negara kita. Anehnya walaupun sedar bahawa gangguan jiwa itu wujud dan boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, namun ramai dalam kalangan kita yang masih tidak mahu mengakuinya dan enggan mendapatkan rawatan dengan segera.

Malu merupakan antara punca utama. Stigma dan penghinaan terhadap mereka yang mengalami masalah jiwa menyebabkan individu terbabit sering menafikannya. Begitu juga ahli keluarga mereka.

Masyarakat kita juga sebenarnya lebih rela menerima alasan bahawa gangguan jiwa dan tingkahlaku yang dialami oleh seseorang itu adalah hasil pada buatan orang daripada mengakui bahawa ia disebabkan oleh gangguan jiwa atau kecelaruan emosi.

Ekoran daripada itu, bomoh dan pengamal perubatan tradisional menjadi tempat rujukan. Lebih menyedihkan ialah bila terdapat dalam kalangan doktor dan pengamal perubatan moden sendiri yang tidak peka, tidak sedar atau tidak tahu bahawa pesakit yang berjumpa mereka itu sebenarnya mengalami gangguan jiwa dan bukannya dirasuk jin atau syaitan.

Walau apapun, gangguan jiwa bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Penyakit jiwa dan kecelaruan tingkahlaku wujud dalam semua masyarakat di mana sahaja mereka berada. Menurut anggaran yang dibuat oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, 154 juta orang di seluruh dunia mengidap masalah kemurungan, 25 juta mengidap penyakit skizofrenia dan 15 juta terlibat dengan penyalahgunaan dadah. 877,000 orang pula mati kerana membunuh diri.

Di Malaysia, situasinya tidak banyak berbeza. Secara purata, dianggarkan hampir 270,000 orang mengalami penyakit skizofrenia dan kira-kira 20 hingga 30 orang membunuh diri setahun bagi setiap 100,000 rakyat di negara ini. Lebih membimbangkan ialah bilamana penemuan terbaru hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 yang menunjukkan prevalens masalah kesihatan mental melibatkan 11.2% orang dewasa 20.3% dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia jelas menunjukkan peningkatan berbanding kajian terdahulu (1996) yang hanya menunjukkan kadar 10.7% dalam kalangan orang dewasa dan 13.0% dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Kesimpulannya, gangguan jiwa memang wujud di negara ini dan prevalennya berada di tahap yang kritikal. Kegagalan untuk menanganinya bukanlah disebabkan oleh faktor kewangan atau tiada rawatan yang berkesan tetapi sebenarnya akibat keengganan (atau mungkin juga kedegilan) kita dan pihak yang berwajib untuk mengakui kewujudannya serta berbuat sesuatu mengenainya.

Umumnya, hampir semua hospital kerajaan mahupun swasta berupaya untuk merawat masalah gangguan jiwa. Tetapi sikap masyarakat kita yang enggan dirawat atau dirujuk menjadi batu penghalang yang utama. Stigma yang dikaitkan dengan berjumpa pakar jiwa menyebabkan ramai individu lebih rela berdiam diri dan menanggung derita. Maklumlah, jika telah dilabel sebagai pesakit jiwa, bukan saja malu yang terpaksa mereka tanggung, malah berisiko tinggi pula untuk dibuang kerja. Itu belum lagi diambilkira kehilangan hak keistimewaan sebagai seorang makhluk yang bergelar manusia.

Lebih memburukkan keadaan, kita juga tidak akan dilindungi oleh insurans atau kad kesihatan. Hampir semua pemilik syarikat insurans mempunyai klausa yang mengecualikan mereka daripada membayar untuk sebarang bentuk rawatan sama ada di klinik mahupun hospital swasta jika simptom yang dialami mempunyai kaitan (secara langsung atau tidak) dengan tekanan perasaan, stres atau apa sahaja bentuk gangguan jiwa. Mungkin punca utamanya ialah kerana Malaysia belum mengiktiraf masalah jiwa sebagai penyakit kritikal yang wajib dilindungi. Pendek kata, kita boleh mendapat rawatan yang terkini dan bertaraf dunia daripada mana-mana hospital swasta untuk penyakit jantung, angin ahmar, kanser dan sebagainya di negara ini di bawah perlindungan insurans yang dibeli tetapi jika gangguan jiwa yang dialami, maka terpaksalah kita membayar dengan wang sendiri.

Mungkin telah tiba masanya kita mengambil tindakan yang lebih proaktif untuk mengubah keadaan. Dunia sudah berubah, dan untuk menjadi negara maju, Malaysia perlu mengikut jejak langkah negara lain dalam mengiktiraf gangguan jiwa sebagai salah satu masalah kesihatan yang mesti ditangani dengan bijaksana. Tidak perlulah kita menunggu hingga lebih ramai nyawa yang terkorban sebelum kita bertindak. Beringat sebelum kena, dan janganlah bila sudah terantuk baru hendak tengadah.....

Sunday, 21 March 2010

Penderaan Dalam Rumah Tangga - Kenapa Ia Masih Dibiarkan Berleluasa?

Penderaan fizikal ke atas pasangan (khususnya ke atas wanita) semakin hari semakin berleluasa di negara ini. Mangsa-mangsa berkenaan sering mengalami gangguan jiwa  - kemurungan , kerisauan bahkan ada yang mengalami penyakit mental yang lebih teruk daripada itu.




Malangya dalam kebanyakan kes, si mangsa yang sering berada dalam ketakutan. Takut untuk melaporkan kepada pihak yang berkuasa. Bimbang akan lebih teruk dibelasah sekiranya diketahui si suami atau keluarga.

Mereka juga risau akan kehilangan tempat bergantung sekiranya si suami dikenakan hukuman. Apa akan terjadi kepada mereka dan anak-anak nanti? Siapakah yang akan menyara keluarga mereka jika si suami sudah tiada?

Ada juga yang malu. Bimbang akan dipulaukan, dihina atau dibuang oleh keluarga.

Akhirnya wanita-wanita ini terus menderita zahir dan batin. Sanggup dipukul dan dizalimi demi untuk keluarga.....Berkorban apa saja umpama lilin yang membakar diri. Demi keluarga, demi anak-anak atau demi sesiapa sahaja tetapi bukan demi kesejahteraan mereka sendiri.

Undang-undang Mahkamah Syariah sedia ada tidak begitu menyebelahi mereka. Terlalu lemah penguatkuasaannya hingga kerapkali  ia dilihat lebih berpihak kepada lelaki berbanding wanita.

Mungkin sudah tiba masanya ia dikaji semula atau diaplikasikan dengan  lebih sempurna demi untuk membela nasib ramai wanita di Malaysia yang telah sekian lama terabai dan teraniaya....

Wednesday, 24 February 2010

Masalah Jiwa dan Pencen Ilat

Sepanjang berkhidmat sebagai Pakar sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta, isu ini merupakan antara isu yang paling kerap memeningkan kepala.

Selalunya bagi mereka yang mengalami masalah gangguan jiwa yang sangat serius, itu mungkin tidak menjadi masalah besar. Psikotik, ganas, tidak dapat menjaga diri dan sebagainya merupakan contoh terbaik di mana majikan akan tidak teragak-agak untuk memohon supaya pesakit diberi pencen ilat atau diberhentikan atas alasan kesihatan.




Kadangkala, para doktor selalu akan cuba memastikan bahawa pesakit diberi masa yang secukupnya untuk pulih dan kembali bekerja seperti biasa. Namun jika mereka masih tidak lagi dapat berbuat demikian walaupun beberapa lama dirawat, maka mungkin pencen ilat merupakan jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua.

Bagi mereka yang mengalami gangguan jiwa jenis neurotik (contohnya kemurungan, kegelisahan dan sebagainya), ianya tidak semudah itu. Lembaga Perubatan sering membuat kesimpulan bahawa mereka ini masih boleh meneruskan tugas seperti biasa atau sekurang-kurangnya diberi kerja ringan untuk sementara waktu. Oleh yang demikian, pesakit dan majikan, kadangkala berada dalam dilema.

Ramai di antara pesakit yang mengalami masalah serupa akhirnya mengalami masalah yang besar. Tidak boleh bekerja tapi dipaksa untuk bekerja. Majikan pula tersepit kerana tidak boleh mengeluarkan mereka ini daripada senarai dan terpaksa membayar gaji walaupun pekerja terbabit tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan baik  dan sempurna.

Daripada apa yang difahamkan, kriteria untuk mendapat pencen ilat bagi pesakit psikiatri kini lebih ketat daripada biasa. Jarang sekali didapati kes neurotik diberi pencen berbanding kes psikotik kerana kebanyakan mereka dianggap masih lagi boleh berfungsi seperti biasa. Penderitaan emosi tidak dilihat sebagai sesuatu yang cukup teruk untuk dipertimbangkan bagi pencen tersebut berbanding mereka yang mengalami kecelaruan mental yang serius.

Hasilnya, ramai pesakit akhirnya dipaksa untuk meletak jawatan, atau pun yang lebih malang,  dibuang kerja dengan begitu sahaja. Itulah hakikatnya apa yang sedang berlaku di negara ini. Penyakit mental dan gangguan jiwa masih belum menerima pengiktirafan yang sewajarnya berbanding penyakit fizikal yang lain. Nasib mereka masih belum mendapat pembelaan walaupun zaman telah berubah dan negara semakin maju. Namun mentaliti masyarakat dan pemimpin tetap di takuk lama....

Sama-samalah kita semua berdoa agar mereka yang bertanggungjawab dan mampu mengubah semua ini diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah. Mungkin satu hari nanti hasrat kita untuk melihat perubahan besar di negara ini (khususnya berkaitan dengan rawatan dan pemulihan penyakit mental) akan menjadi satu realiti.

Monday, 15 February 2010

Fobia

Sumber : Utusan Malaysia : 

Jika ketakutan yang dihidapi oleh seseorang itu melampau atau keterlaluan, maka rawatan tertentu diperlukan bagi mengatasinya.

Secara am, ramai orang yang tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan penyakit mental atau psikiatri. Bila seseorang itu dikatakan sedang menghadapi masalah mental, masyarakat dengan mudah mengatakan bahawa orang itu gila. Dengan kata lain, masyarakat memandang serong terhadap orang yang menghadapi penyakit mental.
Sebenarnya terdapat 300 kategori penyakit mental. Satu hingga dua peratus dikatakan menghadapi penyakit psikotik atau gila. Sementara 98 peratus lagi tidak ada kena mengenai dengan penyakit tersebut.




Terdapat dua blok paling besar mengenai penyakit mental, iaitu murung dan keresahan. Fobia dikategorikan dalam penyakit keresahan atau anxiety disorder. Simptom utama yang terdapat pada orang yang mengalaminya ialah perasaan resah.
Fobia bukanlah kategori besar dalam penyakit mental tetapi ia menarik dan mendapat perhatian.
Fobia merupakan perasaan yang amat takut terhadap sesuatu benda atau situasi. Orang yang menghadapi masalah tersebut sedar bahawa ketakutan yang dialaminya adalah keterlaluan berbanding dengan orang lain.
''Orang ini tahu bahawa fobianya itu tidak setanding dengan benda yang dia takut. Namun dia tidak berdaya melawan. Kerana terlalu takut, dia akan cuba mengelakkan diri daripada berdepan dengan objek atau situasi tersebut. Jika tidak dirawat, dengan melihat gambar atau mendengar cerita pun dia akan berasa takut.
''Simptom fizikal yang dapat dilihat pada orang yang fobia adalah ketara seperti sesak nafas dan jantung berdegup deras.
"Ini akan menjurus pada sakit dada, tangan dan badan menggeletar. Rasa tercekik, berpeluh, rasa loya daripada dalam perut dan kepala pening seperti hendak pitam.
''Orang yang fobia ini seterusnya akan tertanya-tanya adakah dia diserang serangan jantung atau strok dan sebagainya. Dia mula hilang kawalan, semakin cemas dan terasa macam hendak mati,'' kata pakar psikiatri Hospital Pusrawi, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman yang ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, jika kesemua simptom itu muncul serentak dan berlaku berterusan, orang itu akan cuba mengelak daripada berhadapan dengan objek atau mengelakkan daripada pergi ke tempat yang ditakutinya.
Beliau berkata, terdapat perbezaan antara fobia dan rasa takut biasa. Perasaan takut merupakan perkara biasa kepada manusia normal.
''Adalah perkara biasa bagi kanak-kanak mempunyai perasaan takut. Sebanyak 90 peratus kanak-kanak yang berumur dua hingga 14 tahun mesti takutkan sesuatu sementara yang berumur di antara 0 hingga dua tahun takut kepada orang yang tidak dikenali, bunyi bising, bila terpaksa berpisah dengan ibu bapa seperti apabila dihantar ke rumah pengasuh dan sebagainya.
''Kanak-kanak yang berumur tiga hingga enam tahun pula lebih suka berkhayal atau takut kepada benda yang kita tidak nampak seperti hantu, raksasa dan gelap.
''Daripada umur tujuh hingga 16 tahun pula mempunyai perasaan takut yang lebih realistik seperti apabila perlu berpidato, menghadapi peperiksaan dan takutkan kemalangan.
''Ada banyak jenis ketakutan dan jika ibu bapa tidak bijak mengawalnya maka ia akan menjadi fobia yang serius setelah anak dewasa kelak. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dan jangan mengugut anak dengan meletakkan benda yang ditakuti di hadapan anak. Cara respons anak semasa kecil memberi kesan kepadanya setelah dewasa,'' ujar Daniel Zainal lagi.
Menurut beliau, antara jenis fobia yang biasa ialah:
  •  Fobia terhadap binatang tertentu.
  • Fobia terhadap alam sekeliling seperti ketinggian, menaiki lif, tangga, air dan gelap.
  • Fobia terhadap sesuatu situasi tertentu seperti doktor gigi, memandu, membuat persembahan di depan khalayak ramai, lalu di bawah jambatan atau terowong dan menaiki tangga bergerak.
  • Fobia sosial iaitu takut diperhatikan dan orang ini akan cuba mengelak daripada bergaul atau bercakap dengan orang lain.Agoraphobia - orang yang sudah ada serangan panik dan akan rasa takut di mana-mana saja dia pergi. Dia sentiasa berfikir jika sesuatu terjadi padanya siapa yang akan menolongnya. Ini akan menyebabkannya tidak mahu keluar rumah.

Daniel Zainal berkata, orang yang terlalu fobia hingga menjejaskan jadual harian boleh dirawat menggunakan kaedah tingkah laku dan kognitif (cognitive behaviour therapy) dan terapi pendedahan.
Ujarnya, orang yang fobia juga akan diajar teknik bertenang seperti pernafasan, meditasi (orang Islam boleh berzikir) dan merehatkan otot-otot. Cara ini boleh mengawal dan mendapatkan keyakinan.
Beliau memberi amaran supaya tidak mengambil ubat penenang secara sewenang-wenangnya. Ubat-ubatan sebegini hanya bertindak untuk sementara waktu. Bagaimanapun ia dibolehkan jika diambil mengikut peraturan dan nasihat doktor.

Friday, 12 February 2010

Kemurungan Selepas Bersalin

Baru-baru ini terdapat seorang pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan bagi masalah Kemurungan Selepas Bersalin . Masalah ini sebenarnya cukup prevalen dalam kalangan wanita di negara ini dan seharusnya mendapat perhatian yang lebih serius daripada semua pihak.

Bagi sesiapa yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut, anda boleh membaca mengenainya di sini...

http://content.yudu.com/Library/A15l1o/kemurunganselepasber/resources/1.htm

Tuesday, 9 February 2010

Gangguan Jiwa Lawan Gangguan Mistik.


 

Dalam akhbar baru-baru ini tersiar satu cerita yang amat menyayat hati di mana seorang lelaki telah menikam abang dan ayahnya sendiri. Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila komen pihak polis dan media yang menggambarkan kemungkinan ia merupakan akibat daripada gangguan mistik - iaitu lelaki tersebut mendengar suara wanita bernama Siti Aisyah yang menyuruhnya melakukan perbuatan tersebut. 

Mungkin susah bagi kita untuk membuat kesimpulan daripada kes ini tanpa fakta yang terperinci dan peluang untuk menemuduga pesakit yang terbabit. Namun kemungkinan ianya disebabkan oleh masalah jiwa tidak boleh diketepikan begitu sahaja. 



Dari perspektif psikiatri dan psikologi, suara ghaib tersebut boleh diklasifikasikan sebagai halusinasi. Ia merupakan satu simptom yang kerap ada dalam kalangan pesakit jiwa di mana mereka mendengar suara-suara ghaib (satu atau lebih) yang secara saintifiknya telah dibuktikan datang daripada otak mereka sendiri.  Ia digelar halusinasi kerana persepsi (melalui deria pendengaran) itu berlaku walaupun tidak ada stimulus (punca suara tersebut) daripada luaran. 

Kerapkalinya suara (atau suara-suara) tersebut berbicara dengan individu terbabit, berbicara sesama mereka sendiri, ataupun boleh mengarahkan individu untuk melakukan sesuatu yang di luar kehendak mereka sendiri. Bagi individu tersebut, suara itu cukup 'real' atau memang sesuatu yang wujud dan kadangkala ia dilakukan apabila si pendengar tidak lagi dapat menahan diri kerana berulang kali disuruh atau diarah untuk berbuat demikian. 

Kebanyakan mereka yang mengalami gangguan seperti ini tergolong dalam kategori penyakit jiwa jenis psikotik. Pesakit yang mengalami kecelaruan ini tidak lagi dapat membezakan antara sesuatu yang fantasi dengan sesuatu yang realiti.  

Satu lagi kemungkinan yang perlu diambil kira ialah penyalahgunaan dadah. Mereka yang mengambil dadah khususnya heroin, ganja, gam, amfetamina, metamfetamina atau ketamin, boleh juga mengalami simptom yang sama. 

Banyak lagi penyakit jiwa yang boleh membawa kepada akibat yang sama. Namun ia memerlukan proses pemerhatian yang teliti dan mendalam bagi menentukan punca kenapa individu terbabit melakukan perbuatan yang sedemikian.Ini boleh dilakukan di mana-mana Unit Forensik di hospital kerajaan. 

Oleh yang demikian, sebagai satu cabang penyiasatan yang perlu diambilkira dalam hal ini, individu terbabit perlu dinilai oleh Pakar Psikiatri dengan lebih teliti. Ini adalah untuk mengelakkan daripada mereka yang mengalami gangguan jiwa tidak dihumbankan ke dalam penjara walhal apa yang diperlukan adalah rawatan dan pemulihan.

Monday, 11 January 2010

Dr Wan - Dalam Media - 11.01.2010


Berita Harian - Muka Surat 28 (Surat & E-mel)


    Utusan Malaysia (Muka Surat 12) : Forum

Friday, 8 January 2010

Artikel Utusan Malaysia (09.01.2010) - Pesakit Mental Bertambah

Anda boleh baca di sini http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm


Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my

atau di bawah:

.........Pakar psikiatri dari Kedah Medical Centre (KMC), Dr. Wan Mohd Rushdi Wan Mahmud berkata, seseorang yang berada dalam keadaan di luar sedar mampu melakukan perbuatan yang pelik, luar biasa, kejam dan tidak berperikemanusiaan.


Menurutnya, mereka yang betul-betul buat (perbuatan kejam) adalah mereka yang telah lama mengalami gangguan jiwa. Biasanya, individu terbabit sudah sampai ke peringkat teruk atau psikotik sehingga kerap mengalami halusinasi.




Katanya, apabila seseorang mengalami halusinasi, mereka seolah-olah mendengar suara-suara tertentu yang sebenarnya tidak wujud.

Beliau berkata, suara-suara itu pula biasanya menyuruh mereka melakukan sesuatu yang kadangkala tidak masuk akal.

"Ada suara yang menyuruh individu terbabit membunuh diri atau mencederakan atau membunuh individu tertentu yang dianggap mengancam keselamatan mereka.

"Dalam hal ini, individu terdekat seperti ahli keluarga sama ada ibu, bapa, adik-beradik, sepupu, datuk, nenek atau saudara mara kerap menjadi mangsa," ujarnya.

Beliau menjelaskan, suara-suara 'ghaib' itu muncul daripada kepercayaan-kepercayaan salah terhadap sesuatu perkara. Misalnya, pelaku mempercayai ada orang mahu membunuhnya dan kepercayaan itu mendorongnya membunuh individu tersebut sebelum dirinya menjadi mangsa.

"Pelaku merasakan lebih baik bunuh orang itu dahulu, sebelum orang tersebut membunuh dirinya. Inilah bisikan yang sering kedengaran di telinga mereka," katanya.

Selain itu, katanya, mereka yang mengalami gangguan mental kerap merawat diri sendiri dengan mengambil dadah-dadah tertentu dan ia menjadikan gangguan yang dialami bertambah teruk.

"Penggunaan dadah seperti ice, syabu, heroin dan morfin akan menyebabkan mereka kerap membayangkan benda-benda pelik dan keadaan itu lebih mendorong mereka bertindak di luar kebiasaan,"tambahnya.

Mengulas sebab-sebab yang mendorong seseorang melakukan perbuatan di luar kebiasaan, beliau berkata, semua jenis tekanan sama ada di tempat kerja atau di rumah boleh mendorong mereka bertindak ganas.

"Lebih memburukkan keadaan jika sejarah keluarga menunjukkan ada di kalangan mereka pernah mengalami gangguan mental," katanya.

Memandangkan kes gangguan mental dilaporkan semakin meningkat, beliau mencadangkan agar rawatan terhadap gangguan mental dimasukkan ke dalam polisi insurans.

"Di negara kita, tiada perlindungan insurans untuk rawatan gangguan mental. Ini menyebabkan tidak ramai yang mahu merujuk kes mereka kepada pakar psikiatri. Saya yakin jika pihak insurans memasukkan rawatan gangguan mental di dalam polisi mereka, lebih banyak orang akan tampil mendapatkan rawatan," tambahnya.


Artikel Penuh:
 
Laporan akhbar harian Kosmo! bertarikh 27 November 2008 menyebut bahawa Negeri Sembilan mencatatkan jumlah pesakit mental, diabetes dan obesiti di kalangan orang dewasa paling tinggi di negara ini. Kes terbaru yang berlaku di negeri itu adalah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh.


Dalam kejadian penuh tragis itu, empat nyawa melayang dipercayai angkara perbuatan kejam seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga mangsa. Lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut, Rashidi Ismail, 34, akhirnya ditahan polis di Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 4.05 petang, 6 Januari lalu.

Kesemua mereka yang dibunuh itu adalah bapa, adik perempuan, datuk dan nenek kepada Rashidi. Lebih menggerikan apabila kepala salah seorang mangsa dibawa ke Shah Alam untuk ditanam di tanah tinggi berdekatan sebatang parit di hujung Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Meneliti kes itu, mungkinkah ia satu kebetulan atau satu kenyataan yang mengiyakan bahawa Negeri Sembilan memiliki sejumlah pesakit mental paling ramai di negara ini? Sehingga hari ini, kita masih belum tahu sama ada Rashidi mengalami masalah gangguan mental, berada di bawah pengaruh dadah atau sebab-sebab lain. Namun daripada apa yang diceritakan oleh adiknya, Siti Mariam bahawa abangnya pernah putus tunang sebanyak dua kali dan tidak bekerja boleh menjadi sebab Rashidi diserang kemurungan sehingga mendorongnya bertindak kejam terhadap keluarga sendiri.

Menurut laporan Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006, antara punca gangguan mental adalah kemurungan. Ia dijangka menjadi punca utama penyakit mental menjelang tahun 2020.

Kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang banyak berlaku tetapi kurang didiagnosis sehinggalah pesakit menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi. Hampir kesemua pesakit yang murung mengalami episod mood yang rendah dan hilang minat untuk melakukan aktiviti yang digemarinya sebelum ini.

Pesakit yang dilanda kemurungan juga sering mengalami kesedihan, rasa cemas atau mudah marah, rasa rendah diri yang ketara, rasa bersalah tidak bertempat, rasa tidak berupaya, gelisah serta kesukaran menumpukan perhatian dan mungkin juga menyisihkan diri daripada masyarakat, keluarga dan rakan serta cubaan membunuh diri. Kesemua faktor itu juga boleh menjurus kepada satu perlakuan yang ganas termasuk membunuh.

Pakar psikiatri dari Kedah Medical Centre (KMC), Dr. Wan Mohd Rushdi Wan Mahmud berkata, seseorang yang berada dalam keadaan di luar sedar mampu melakukan perbuatan yang pelik, luar biasa, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, mereka yang betul-betul buat (perbuatan kejam) adalah mereka yang telah lama mengalami gangguan jiwa. Biasanya, individu terbabit sudah sampai ke peringkat teruk atau psikotik sehingga kerap mengalami halusinasi.

Katanya, apabila seseorang mengalami halusinasi, mereka seolah-olah mendengar suara-suara tertentu yang sebenarnya tidak wujud.

Beliau berkata, suara-suara itu pula biasanya menyuruh mereka melakukan sesuatu yang kadangkala tidak masuk akal.

"Ada suara yang menyuruh individu terbabit membunuh diri atau mencederakan atau membunuh individu tertentu yang dianggap mengancam keselamatan mereka.

"Dalam hal ini, individu terdekat seperti ahli keluarga sama ada ibu, bapa, adik-beradik, sepupu, datuk, nenek atau saudara mara kerap menjadi mangsa," ujarnya.

Beliau menjelaskan, suara-suara 'ghaib' itu muncul daripada kepercayaan-kepercayaan salah terhadap sesuatu perkara. Misalnya, pelaku mempercayai ada orang mahu membunuhnya dan kepercayaan itu mendorongnya membunuh individu tersebut sebelum dirinya menjadi mangsa.

"Pelaku merasakan lebih baik bunuh orang itu dahulu, sebelum orang tersebut membunuh dirinya. Inilah bisikan yang sering kedengaran di telinga mereka," katanya.

Selain itu, katanya, mereka yang mengalami gangguan mental kerap merawat diri sendiri dengan mengambil dadah-dadah tertentu dan ia menjadikan gangguan yang dialami bertambah teruk.

"Penggunaan dadah seperti ice, syabu, heroin dan morfin akan menyebabkan mereka kerap membayangkan benda-benda pelik dan keadaan itu lebih mendorong mereka bertindak di luar kebiasaan,"tambahnya.

Mengulas sebab-sebab yang mendorong seseorang melakukan perbuatan di luar kebiasaan, beliau berkata, semua jenis tekanan sama ada di tempat kerja atau di rumah boleh mendorong mereka bertindak ganas.

"Lebih memburukkan keadaan jika sejarah keluarga menunjukkan ada di kalangan mereka pernah mengalami gangguan mental," katanya.

Memandangkan kes gangguan mental dilaporkan semakin meningkat, beliau mencadangkan agar rawatan terhadap gangguan mental dimasukkan ke dalam polisi insurans.

"Di negara kita, tiada perlindungan insurans untuk rawatan gangguan mental. Ini menyebabkan tidak ramai yang mahu merujuk kes mereka kepada pakar psikiatri. Saya yakin jika pihak insurans memasukkan rawatan gangguan mental di dalam polisi mereka, lebih banyak orang akan tampil mendapatkan rawatan," tambahnya.

Perunding Psikologi, Khairul Anuar Masuan berkata, terdapat dua faktor yang menyebabkan stres iaitu dalaman dan luaran.

"Faktor dalaman menyaksikan emosi seseorang tidak kuat, misalnya takut melihat darah. Jika jiwa dia kuat, melihat darah bukanlah satu masalah kepadanya.

"Faktor luaran pula melibatkan seseorang kerap memikirkan perkara yang sama berulang kali. Sehinggakan bangun tidur pada waktu pagi pun dia boleh teringatkan perkara itu. Malah, ada yang terbawa-bawa di dalam mimpi.

"Keadaan itu, jika tidak dirawat boleh membawa kepada kemurungan dan kesan daripada itu, mereka boleh berhalunisasi sehingga bertindak di luar kebiasaan," ujarnya.

Beliau mengakui jumlah pesakit yang mengalami gangguan mental semakin meningkat. Justeru, pelbagai pihak perlu bekerjasama menanganinya.

"Saya nasihatkan cuti hujung minggu digunakan dengan bijak agar segala tekanan yang bersarang di dalam diri sepanjang minggu itu dapat dilepaskan.

"Riadah bersama keluarga atau melakukan aktiviti luar yang digemari boleh membantu mengurangkan tekanan," ujarnya.

Apapun persepsi orang ramai terhadap kes terbaru yang menggemparkan itu, ia bukanlah lebih menjurus kepada siapa dan negeri mana paling banyak terlibat dalam permasalahan berkaitan kesihatan mental. Apa yang perlu dilakukan adalah masalah kesihatan terutama yang bersangkutan dengan mental hendaklah ditangani segera supaya sebarang bentuk tekanan, kemarahan, keganasan, kemurungan dan bunuh diri dapat dielakkan.

Langkah yang lebih proaktif dalam menangani masalah itu juga wajar dilakukan dari sekarang memandangkan laporan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati kes gangguan mental meningkat hampir enam peratus berbanding kajian yang sama dilakukan kira-kira 10 tahun lalu.

Statistik daripada kajian itu juga mendapati kira-kira tiga juta daripada 26 juta penduduk negara kita mengalami gangguan mental.

Di peringkat antarabangsa pula, kira-kira 450 juta orang di seluruh dunia dikesan mengalami gangguan mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), daripada jumlah itu, kurang daripada separuh pesakit menerima rawatan yang diperlukan. WHO juga menganggarkan menjelang tahun 2020, penyakit mental dijangka mewakili 15 peratus daripada penyakit global.

Ia kini menjadi penyakit lazim dan statistik tahun 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007.

Memandangkan masalah kesihatan mental kini menjadi sebahagian daripada cabaran era moden yang berlaku dalam masyarakat hari ini, maka pelbagai pihak perlu bersatu tenaga membantu menangani penyakit tersebut. Antara pihak yang boleh bekerjasama dalam perkara itu adalah Kementerian Kesihatan, majikan, pihak pengurusan universiti dan sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kempen mencegah penyakit mental boleh dilakukan sepanjang tahun bukan sahaja di peringkat sekolah dan universiti, malah ia perlu melibatkan masyarakat yang tinggal di pedalaman, kampung, pinggir bandar mahupun bandar raya besar.

Di peringkat majikan sama ada sektor awam atau swasta, usaha mengesan kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan mental, tekanan dan kemurungan perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Janganlah sekadar kita menunggu sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang jatuh pada bulan Oktober setiap tahun barulah kempen dan aktiviti kesihatan mental diadakan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu laporan Utusan Malaysia bertarikh 23 November 2009 menekankan betapa kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan mental, tekanan dan kemurungan di tempat kerja perlu diberi rawatan segera oleh majikan.

Menurutnya, ia perlu dilakukan segera bagi menangani produktiviti golongan pekerja di negara ini, selain mengenal pasti pekerja yang mempunyai masalah berkenaan supaya rawatan dan kaunseling dapat diberikan segera.

Beliau mencadangkan majikan agar memperkenalkan Program Bantuan Untuk Pekerja yang berfungsi mengambil langkah-langkah pencegahan serta membantu pekerja yang menghadapi masalah berkaitan kesihatan mental, tekanan dan kemurungan.

Selain itu, seorang pakar psikiatri dari Toronto, Kanada, Dr. Ted Lo berkata, kurangnya pendidikan mengenai aspek gangguan mental menjadikan mereka yang menderita gangguan tersebut enggan mengakuinya.

Keengganan seseorang untuk dikaitkan dengan penyakit mental berpunca daripada stigma sosial dalam komuniti terhadap masalah berkenaan.

"Faktor persekitaran dan perspektif budaya yang negatif terhadap gangguan mental telah menghalang ramai pesakit mendapatkan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Justeru, stigma dan prejudis masyarakat terhadap penyakit mental perlu dihapuskan bagi menggalakkan lebih ramai pesakit menemui pakar untuk mendapatkan rawatan.

Kesimpulannya, tragedi hitam yang berlaku melibatkan kehilangan nyawa, amukan dan perbuatan membunuh diri adalah peringatan pahit dalam kehidupan kita akibat daripada penyakit yang hakikatnya boleh dirawat. Langkah-langkah menanganinya sepatutnya tidak diabaikan dalam usaha kita mencapai tahap negara maju menjelang 2020

Gangguan Jiwa Perlukan Perhatian Serius

Kebelakangan ini terdapat pelbagai kejadian yang berlaku di negara kita khususnya dan di seluruh dunia amnya yang menunjukkan bahawa tekanan mental semakin berleluasa dan telah mencapai tahap yang membimbangkan. Kejadian seperti membunuh diri, mengamuk, hilang kawalan emosi, kemarahan yang melampau, penyalahgunaan dadah, arak dan sebagainya merupakan sebahagian daripada bukti yang jelas di mata kita. Begitu juga ramifikasi dan komplikasi yang timbul seperti meningkatnya kes jenayah termasuk ragut, rogol atau membunuh yang rata-ratanya dikaitkan dengan permasalahan yang sama.



Dunia telah mengakui bahawa penyakit mental bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Penyakit mental dan kecelaruan tingkahlaku wujud dalam semua masyarakat di mana sahaja mereka berada. Menurut anggaran yang dibuat oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, 154 juta orang di seluruh dunia mengidap masalah kemurungan, 25 juta mengidap penyakit skizofrenia dan 15 juta terlibat dengan penyalahgunaan dadah. 877,000 orang pula mati kerana membunuh diri.

Di Malaysia, kita juga mengalami keadaan yang sama. Penemuan terbaru hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 menunjukkan prevalens masalah kesihatan mental melibatkan 11.2% orang dewasa 20.3% dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Sesungguhnya ia menunjukkan peningkatan berbanding dengan kajian pada tahun 1996 yang hanya menunjukkan kadar 10.7% di kalangan orang dewasa dan 13.0% di kalangan kanak-kanak dan remaja. Lebih membimbangkan lagi ialah fakta yang menganggarkan kira 20 hingga 30 orang membunuh diri setiap tahun bagi setiap 100 000 rakyat di negara ini.

Anehnya walaupun kita semua sedar bahawa penyakit mental dan kesihatan mental itu penting dan boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, namun ramai dalam kalangan kita yang masih tidak mahu mengakuinya. Malu merupakan antara punca utama. Stigma dan penghinaan terhadap mereka yang mengalami masalah jiwa menyebabkan individu yang terbabit sering menafikannya. Begitu juga ahli keluarga mereka.

Masyarakat kita sebenarnya lebih mudah menerima alasan bahawa gangguan jiwa dan tingkahlaku yang dialami oleh seseorang itu merupakan hasil daripada buatan orang daripada mengakui bahawa ianya disebabkan oleh penyakit mental atau kecelaruan emosi. Ekoran daripada itu, bomoh dan pengamal perubatan tradisional menjadi tumpuan. Lebih menyedihkan ialah bila terdapat dalam kalangan doktor dan pengamal perubatan moden sendiri yang tidak peka, tidak sedar atau tidak tahu bahawa pesakit yang berjumpa mereka itu sebenarnya mengalami gangguan jiwa dan bukannya gangguan jin mahupun syaitan.

Bagi mereka yang begitu bernasib baik untuk dirujuk berjumpa pakar jiwa, stigma sekali lagi menjadi isu. Itulah yang menyebabkan ramai individu lebih rela berdiam diri dan menanggung derita daripada dilihat berjumpa dengan pakar jiwa. Hakikatnya di Malaysia ini, jika telah dilabel sebagai pesakit jiwa, anda bukan sahaja mendapat malu, malah berisiko tinggi untuk dibuang kerja dan disisihkan lagi daripada masyarakat. Segala hak dan keistimewaan sebagai seorang insan mungkin tidak lagi menjadi milik anda.

Begitu juga individu yang cuba mendapatkan rawatan di hospital atau klnik swasta dengan menggunakan insurans atau kad kesihatan. Anda sebenarnya tidak akan dibiayai untuk apa juga bentuk rawatan yang berkaitan jika doktor yang merawat mengesahkan bahawa simptom yang anda alami adalah akibat daripada stres, tekanan atau sebarang bentuk masalah jiwa.

Hakikatnya negara kita merupakan antara sebilangan kecil negara di dunia yang tidak menganggap dan mewajibkan penyakit jiwa sebagai salah satu penyakit kritikal atau penyakit yang perlu dilindungi oleh mana-mana insurans. Anda sebenarnya boleh mendapat rawatan yang cukup hebat dan terkini di mana-mana hospital swasta di Malaysia untuk penyakit jantung, angin ahmar, kanser dan sebagainya. Namun jika anda mengalami masalah jiwa atau gangguan mental, tempat anda hanyalah di klinik dan wad psikiatri di hospital kerajaan. Kad insurans atau perubatan anda tidak akan boleh membantu anda mendapatkan rawatan untuk penyakit jiwa di tempat lain.

Walaupun telah lama dan telah banyak desakan dan rayuan dibuat kepada kerajaan dan menteri yang bertanggungjawab oleh pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan, malangnya seperti biasa jawapan yang diperoleh ialah ia masih lagi dalam perhatian. Mungkin bila lebih ramai lagi jiwa yang telah terkorban, barulah mereka akan mengambil tindakan. Ketika itu nanti ramailah pemimpin politik dan pegawai atasan berebut-rebut memberikan alasan, ulasan dan cadangan. Tidak ada yang aneh sebenarnya. Sikap reaktif dan bukan proaktif sebegini sememangnya menjadi ‘trademark’ dan budaya kita.......

Tuesday, 5 January 2010

Alamat Baru Blog Untuk Jawatankuasa Pendidikan Perubatan KMC (MEC KMC)

Berikut adalah alamat baru bagi blog Jawatankuasa Pendidikan Perubatan KMC (Medical Education Committee Kedah Medical Centre - KMC)
http://kmcmedicaleducation.blogspot.com/

Bagi yang berminat menjadi friends dengan MEC KMC Facebook, bolehlah melawat alamat berikut
http://www.facebook.com/group.php?gid=108638778258

Friday, 1 January 2010

Selamat Tahun Baru 2010

Selamat Tahun Baru 2010. Semoga tahun baru ini membawa kejayaan yang lebih gemilang kepada semua.